Sabtu, Oktober 20, 2007

KERJA RAYA SAHAJA!

Assalamualaikum,

Satu, dua - saya menghitung - ya, semuanya ada 18 hari. 18 hari yang tersunyi dari sepatah kata pun di BandarSepi. Ah, maafkan saya untuk yang berkunjung, menghulurkan salam 'aid dari perantauan yang berencam-rencam, jauh, dekat, tanahair luar negeri. Terima kasih, dan terima kasih!

18 hari yang sebermulanya dari 10 malam-malam terakhir di "bulan kekasih" - menjadikan saya tak rela membiarkan saat-saat berharga itu mengalir tanpa diisi semanfaat mungkin. Bersusur dengan 'Aid yang menang, yang meriah, dan terisi sungguh-sungguh dengan rasa ikhlas persaudaraan Islami. Meriah sungguh kami di Canberra! Pokok-pangkalnya, tak kalahlah kalau mahu dibandingkan dengan demam raya di Malaysia. Jemputan ke rumah terbuka bersusun, bertimpa-timpa, dan tak bisa ditolak-tolak, walaupun perginya sekadar untuk makan seketul biskut raya dan seteguk air. Ya, kalau tak pergi, nanti ada pula bermasam muka, kan?

Keterangan gambar: Saya dan anakanda Ilham di pagi raya ketika berumah terbuka di Dewan Merdeka pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Canberra. Baju Melayu Ilham yang warna ungu, dibawa oleh Aunty Shed. Abah? Pakai baju cream, baju akad nikah tahun lepas, ahak!

Nah, malahan, sehingga hari ini, hujung minggu kedua setelah hari kemenangan itu pun, jemputan masih berterusan untuk rumah terbuka, meriah tak terkata! Jadual hari ini ya; mula dengan jemputan rumah terbuka Kelab UMNO ACT, rumah keluarga Fadli dan Rosila di Quebeyyan, rumah pegawai Counsellor, Encik Sharifuddin di Isaacs, dan malamnya di rumah Kak Min dan pegawai-pegawai Tentera di kawasan perumahan Sterling. Waduh, bisa capek jadinya, lho!

Keterangan gambar: Malam hari raya, Ummi yang sudah keletihan memangku Ilham. Rasanya, kalau tak salah, di rumah saudara Razzi - tak ingat, sebab banyak sangat jemputannya!

Tidak! Minggu depan pun masih berterusan jemputannya - jangan tak tau! Rumah Kak Ana masih belum dan menanti masa. Semalam, isteri saya bilang; "isteri encik Othman pegawai di Kedutaan bisik tadi masa makan-makan (kami berjemputan ke majlis Hari Kebangsaan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia semalam - majlis khas untuk orang besar saja. Saya? Oh, kan saya sudah bekerja di pejabat Suruhjaya Tinggi Malaysia, tiba-tiba jadi macam orang besar - haha - gelak besar!) 26/10/2007 jangan lupa bertandang ke rumah terbukanya."


Oh tuhan, bagai tak percaya, saya dan keluarga berada di luar negara, tidak, bukan di negara Arab, atau negara Islam. Tetapi kami berada di negara Australia yang sepatutnya Islam itu tidak hidup, tetapi sebaliknya pula - dan sujudlah kita akan kebenaran kata-kata Tuhan nan Agung itu - "mereka (kafir-kafir) itu cuba menutup cahaya Allah dengan tangan-tangan mereka, sebaliknya Allah tetap memelihara cahayaNya." Nah, cahaya Islam itu tak termungkin untuk padam, hari ini, justeru hingga bila-bila, atas segala alasan sekali pun, atas segala kekuatan musuh pun, dan cahaya Islam itu tetap ternyala, tak terpadam!

Keterangan gambar: Aunty Shed, satu-satunya anak perempuan dalam kerabat saya yang berlima - pertama kali beraya di perantuan, bagaimana? Saya tahu - shhh - ada air mata basah pada malam raya ketika bertelefon dengan mama di Malaysia, ah, masakan, kali pertama beraya jauh dengan Mama, kan. Tetapi, itu tentunya pengalaman yang tak terlupa seumur hayat, kan Aunty Shed? Dan saya harap, dengan kemeriahan berterusan sebulan raya ini, adik saya akan terasa taklah terlalu sebak.

Ah, pokoknya, hari kemenangan ini bukan untuk disambut dengan mewah-mewah, atau hibur-hibur yang mendewakan para artis, sebaliknya hari kemenangan perlu direnungi dari kaca mata ukhuwwah dan mahabbah Islam yan kita mahu ia terus melekat dan kukuh di kalangan kita. Hari kemenangan adalah hari kita melupus segala parut-parut perbalahan, dan membuka diari baru persaudaraan kita. Ayuh!

1 ulasan:

tintaHati berkata...

Mekar Sakura tu sebenarnya kompilasi beberapa buah cerpen ya? Saya sangka ia sebuah novel...