Isnin, Disember 03, 2007

BETAPALAH LAMANYA!

Assalamualaikum,

"Lama sungguh ..."

Lama sungguh tak menulis, meski sepatah di sini.

Maaf, maaf dan maaf. Sungguh-sungguh saya minta maaf.

Pertama, memang hambatan tugas (ah! sebetulnya sekadar alasan!)

Yang betulnya, saya seperti mandul idea (ahak, perkataan terpopular mutakhir ini!) Saya jadi mati idea - sungguh! Dan mungkin juga saya seperti sang gunung yang memendam api di dalamnya, menunggu masa untuk meluahkan lahar merah dan maraknya, ah, alangkah baiknya jika begitu, bukan?


Keterangan gambar: Bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra. Yang berbumbung minangkabau itu ialah bangunan Dewan Merdeka.

Banyak yang telah saya lalui sepanjang "percutian" saya. Banyak sangat! Kerana terlalu banyaknya yang telah saya lalui menjadikan saya keliru, tak tahu yang mana yang mahu saya bicarakan di sini, sebagai edisi pemanas badan.

Yang besar ada dua - kerja saya, dan keduanya, kehidupan seharian saya dan isteri serta anak kecil Ilham yang kalut semula setelah adik perempuan saya kembali ke Malaysia.


Keterangan gambar: Bandar Canberra, diambil dari Ainslie Mountain. Jauh di hadapan adalah New Parliement House, kemudian Lake Burley Graffin, kemudian yang berwarna merah; halaman ANZAC dan yang kelihatan berkubah kecil di bahagian hadapan gambar adalah War Memorial, sebuah muzium yang merakamkan detik-detik peperangan yang melibatkan pasukan askar Australia

Ya, adik perempuan saya yang dua bulan juga dia menjaga anak kecil saya telahpun pulang semula ke Malaysia - kena melapor diri di UKM, sebagai juruteknik makmal. Saya tak boleh menghalang - itu masa depannya! Masa depan saya, masa depan isteri dan masa depan anak kecil saya, harus dicorakkan oleh saya dan keluarga sendiri (selain tidak mengenepikan sama sekali kuasa Allah sebagai kuasa pemutus dan penentu, bukan?)

Memang kalut! Beban seorang pelajar PhD untuk isteri saya memang berat. Malahan lagi, dia mengikuti kursus PhD tanpa ada pengalaman Master, bayangkanlah. Sebolehnya, sepanjang masa dia mahu berada di makmalnya, mengulang-ulang kerja eksperimen yang sering sahaja belum bertemu jalan keluarnya (gambare Aichan, akariminaide!)

"Banyak kegagalan eksperimen disebabkan bahan!" Rungut isteri saya, dan saya akan mendengar, dan terus mendengar. Terasa belas. Saya harap dia terus bersemangat dan tak mudah mengalah - masa depannya ditentukan oleh dirinya, dan diri saya, jua.

Saya? Oh, tak kalah sibuknya. Kerja saya di kedutaan di bawah bidang protokol. Kerjanya? Menguruskan logistik delegasi Malaysia ke Australia, samada Sydney, Melbourne, apatah lagi di Canberra sendiri. Makanya, saya akan buat tempahan hotel dan pengangkutan untuk delegasi Malaysia yang berurusan di luar dari Canberra.

Sedang kalau ada delegasi Malaysia berurusan di Canberra sendiri, maknanya saya akan turun ke airport, membawa ke hotel, dan malam pula menemankan delegasi ke makan malam, samada rasmi atau tidak rasmi.

Penat? Sibuk? Memang lah! Malam ini, misalnya, hujung minggu, bukan? Malam ini saya membawa delegasi PDRM yang bermesyuarat dengan Australian Federal Police untuk keluar makan malam, dan malam esok juga. Begitulah selalu-selalunya. Waktu habis kerja tak menentu, bergantung pada waktu bila delegasi Malaysia sampai di airport dan hotel. Hujung minggu lepas, delegasi BPR dan Kementerian Sumber Manusia. Sebelum itu, SPR, semasa berlangsung pilihanraya umum Australia, sebelum itu Imigresen, ah, banyaklah. Itu baru dua bulan saya bekerja dengan Kedutaan.

Setakat ini saya seronok. Setakat ini saya puas, iya, melihat senyuman orang Malaysia yang datang berkursus, bermesyuarat, berseminar yang berpuas hati dengan tempahan hotel yang saya puas, kenderaan yang saya tempah, dan kadang-kadang kedai makan yang saya pilih untuk mereka makan malam. Semuanya menghilangkan keletihan dan kepenatan saya berhempas-pulas menyiapkan semua itu.

Tetapi, tetapi, yang kasihannya - isteri saya! Dia banyak kali yang makan malam sendiri, lewat-lewat ini, sejak adik perempuan saya balik ke Malaysia. Apa nak dikata, saya sendiri serba salah. Itulah - saya mahu bersegera mencari orang gaji dari Malaysia. Siapa yang berminat, bilang sama saya, ya!

Tiada ulasan: