Selasa, Oktober 02, 2007

CANBERRA BERBICARA

Assalamualaikum,

Cukup pantas, terlalu pantas, sungguh-sungguh pantas; masa itu pergi. Ah, Ramadan hanya berbaki 10 hari, 10 hari yang perlu digomol sungguh-sungguh, dicumbu dengan penuh lazat dan ghairah, seperti sepasangan suami isteri di peraduan, bahkan kalau boleh lebih dari itu. Kerna kita tidak tahu kekasih yang satu ini akan kita temui lagi tahun depan, ataupun sebenarnya Malaikat Maut sedang menanti "kun" dari Allah, dan kitapun berpindah alam. Aduh!

Berpagi-pagi, ketika keluar saat-saat ayam masih belum mengenyehkan matanya (eh! Canberra pun ada ayam tau, ayam panggang Kingsley's, ahaks!) saya sempat merenung bulan bersabit di dada langit Canberra. Sedih! Cepatnya rembulan Ramadan ini beralih - gelap, terang limabelas, dan sudah mulai gelap kembali, memberi lambang kian hujungnya Ramadan. Sedih!



ii REZEKI RAMADAN

Saya baru sahaja terima panggilan telefon dari "orang besar" Kedutaan Malaysia di Canberra;

"Berminat tak untuk kerja di Kedutaan?"


Oh Tuhan, rezeki dariMu, atau ujian kenikmatan terhadap hambaMu yang daif?


Lama saya berfikir sebetulnya, sejak minggu lepas lagi saya ditawarkan satu jawatan di Kedutaan di Yarralumla, Canberra ini. Saya betul-betul tersimpang juga. Semuanya saya perlu fikirkan masak-masak, ranum-ranum, hadam-hadam, perihal keluarga, tanggungjawab, belaka-belakalah pokok-pangkalnya. Lama juga berbincang dengan isteri tersayang merangkap penasihat peribadi.


"Rasanya berminat juga untuk mencuba," balas saya.


"Datang untuk temuduga esok, jam 9:15. Bawa resume ringkas dan sekeping gambar!"


Oh Tuhan, rezekikah, ujiankah? Saya pasrah. Berikanlah yang terbaik, Tuhan! Harapnya ini rezeki Ramadan, meskipun jauh terperuk di hati terpencil, sayang juga untuk meninggalkan kerja saya di restoran Kingsley's. Ah, sesuatu perlu dikorbankan!

iii TULISLAH! JANGAN BERHENTI

"Bagaimana dengan novel?" soal Kak Norzailina kepada saya, semalam.

"Terhenti sekejaplah, kak," balas saya semberi mengulum kesedihan. Ah, sudah 2 minggu juga e-novela saya ZIKIR-ZIKIR CINTA (sekadar tajuk cadangan dahulu!) belum bersambungan. Entahlah, yang pastinya ia kelemahan saya, kegagalan saya untuk betah menggarap segala idea untuk dituang jadi satu tulisan yang ampuh lagi tuntas.

Sedih juga!

"Tetapi saya ganti dengan 3 cerpen, kak!"

"Oh, ok."

Ada sedikit cahaya pada hati saya. Ya, e-novela saya terhenti, bergantian dengan cerpen. Sedih tetap sedih, kerna saya gagal mendisiplinkan diri saya untuk terus berjuang menulis novel. Tetapi, setidak-tidaknya saya tetap menulis, 3 buah cerpen sebagai gantian. Berbaloikah?

"Saya mesti menulis, lagi dan lagi, jangan berhenti. Kerna orang yang berjaya tak pernah berhenti, sedang orang yang berhenti tak pernah pula berjaya."

Doakan saya, bakarkan semangat saya, duhai teman-teman kesayangan!

4 ulasan:

arsaili berkata...

wah...best tu..moga ada rezeki bekerja di kedutaan....senang nak dtg canbera nanti..ehehe..cam ne persiapan raya?

Kemat berkata...

Rezeki raya tu...
salam aidilfitri

maaf zahir batin

Achik_Sufi berkata...

salam,
selamat hari raya maaf zahir dan batin.

ummu zahra berkata...

Salam.
Blog hopping from somewhere. And I found you here. Never come to me that you will stop writing, and its true.

Goodluck overthere.

ummzahra-london