Sabtu, September 29, 2007

3 EPISOD DALAM 1 BICARA

Assalamualaikum,

Ah, lama betul tak menulis, bercerita, berceloteh di sini. Diasak dengan kesibukan dan mengatur derap jalur-jalur hidup agar lebih kemas, saya agak ketinggalan perihal di BandarSepi. Syukurlah, hari ini, di pertengahan Ramadan ini saya kembali menarikan jemari saya di dada BandarSepi.

i

Hari Rabu lalu, adik perempuan saya baru sampai dari Malaysia - untuk menjaga anak saya Muhammad Ilham. Saya sekeluarga turun sampai ke Sdyney untuk mengambilnya di Airport Sdyney, sambil libur-libur di sekitar Opera House yang terkenal itu.

Tak apa, lupakan pasal tersesat di Sdyney!

Ole-ole yang saya tunggu sudah sampai - novel boom AYAT-AYAT CINTA. Memang berhantu! Itu sahaja kalimah yang mampu saya ulas. Tak perlu panjang-panjang, sebab di laman-laman lain sudah banyak ulasan. Ah, kerana AYAT-AYAT CINTA juga saya jadi sedikit lelah untuk mengertiskan jemari di sini. Maafkan saya! Dan kerana AYAT-AYAT CINTA juga, saya tergendala kerja-kerja menukangi cerpen-cerpen. Oh ya, pada minggu-minggu terakhir di bulan September ini, saya berjaya menulis 3 cerpen dan semuanya sudah saya emailkan pada editor.

  • SATU CERITERA DI SEBUAH KOTA - untuk BERITA MINGGU
  • AIRMATA AIDILFITRI - untuk majalah JELITA

  • PERCINTAAN AGUNG EPISOD DUA - untuk majalah I

Entahkan diterima, entahkan dibakul-sampah, berdoa sahajalah.



ii


"Datanglah ke Canberra! Sekarang tau!" Jerit saya kepada kalian semua. Ya, kalian!


Sekarang tengah musim tulip berbunga jujuh. Riuh-rendah sekejap perdaerahan Canberra ini kerana diterpa oleh orang kawasan-kawasan lain, seperti Sdyney, Melbourne, ataupun mungkin dari Perth yang nun jauh di atas, sekalipun.
Sekarang tengah berlangsungnya
FLORIADE CANBERRA, pesta tulip tahunan yang berlangsung setiap September yang tempohnya hampir sebulan, di kawasan Acton Park di pinggir City of Canberra, betul-betul bersebelahan dengan Lake Burley Griffin.

Tulip ungu, oren, kuning, putih, merah, biru - semuanya sedang mengembangkan kecantikan masing-masing untuk dijamah oleh lensa-lensa kamera dan indera manusia. Cantik, sungguh cantik! Saya pun baru sahaja balik dari Floriade, bawakan keluarga dan adik perempuan siar-siar. Dari semalam lagi kami, warga Melayu di sini sudah berjanji untuk bertemu di sana. Dan tadi, 4-5 keluarga semacam berpesta tahunan di Floriade Canberra.


Datanglah, berkenalan dengan tulip, dan berkenalan dengan orang Melayu di sini.


iii

Saya rasa seperti malam tadi saya mulai bersahur sulung dengan isteri, dan senja nanti saya sudah akan berbuka untuk kali ketujuh-belas. Ironisnya, masa terlalu cepat, sangat cepat berlalu, meninggalkan insan-insan seperti kita yang masih terleka dan terpinga-pinga. Aduh!

Semalam, malam 17 Ramadan, malam Nuzul Quran, malam pemula nabi junjungan menerima ayat IQRA 1-5 dari Jibrail as.

Eh! Kita ini umat Muhammad, bukan? Eh, kita ini kasih sungguh-sungguh kepada Nabi Muhammad itu, bukan? Eh, berapa banyak yang sudah kita baca, kerana mahu menjadi orang-orang berilmu? Aduh! Saya menarik nafas yang terasa sesak.

Saya? Saya sedang menghadam Sejarah Islam Sepanyol dan Sicily, 40 Tahun Dalam Neraka Zionis, novel Dalela dan kumpulan cerpen Bintang Di Langit Lain. Semuanya saya pinjam beberapa minggu lalu di Perpustakaan ANU. Ah, masih sedikit. Masih tak kecukupan untuk memberi kalau sekadar itu yang terbaca oleh saya. Sedihnya!

Petang nanti, saya terima jemputan untuk berkongsi ilmu tentang Nuzul Quran di Majlis Ta'lim MASEC. Ah, orang yang tak pandai ini juga yang diminta. Terima kasih! Dan sekadar memberi apa yang termampu oleh saya.

Dan senja nanti, kami sekeluarga terima undangan untuk beriftar di rumah Nadim&Suriati. Ah, murah rezeki kami dan mudahan Tuhan limpah-murahkan lagi rezeki tuan rumah dengan rezeki-rezeki yang baik lagi berkat.

Dan lagi, hujung minggu depan, minggu terakhir sebelum Syawal menjelmakan rupanya, ada iftar perdana di Kedutaan Malaysia di kawasan Yarralumla. Ah, betapa saya pula yang dipilih jadi kepala solat. Subhanallah. Bagaimana lho? Saya sekadar mencuba dan memenuhkan percaya orang atas pundak saya, selebihnya urusan Tuhan yang Teragung!

Tiada ulasan: