Isnin, September 24, 2007

ADA SENDU DALAM SENYUM

Assalamualaikum,

i

Saya tersenyum sambil mengangkat tabik kepada barisan kepimpinan MASAC (Malaysian Student Association of Canberra) - bukan senang juga untuk menganjurkan majlis Ramadan Perdana seperti hari Sabtu lepas. Tahniah!

Bermula dengan iftar, kemudian solat Maghrib, santapan perdana, Isyak dan sudahnya dengan Terawih 8 rakaat - nah, setidak-tidaknya majlis ini telah menjaring kemesraan yang julung-julung kalinya di kalangan anak Melayu di perdaerahan Canberra ini. Nah inilah rahmar Ramadan namanya!

Saya tersenyum.

Pegawai MSD, pelajar undergraduate, pelajar post-graduate hatta anak Melayu yang sudah berpuluh tahun tinggal di sini berjaya disatukan di surau ANUMA, Sabtu lepas. Apa lagi yang kita mahu? Melainkan rasa lega dan syukur, bukan?

Tawa terpecah, gurau-senda menjadi perantara, senyumnya bak rembulan lima belas - ah, semuanya adalah bahasa-bahasa persaudaraan yang tak perlu lagi ditulis dengan sepatah kata pun. Seketika itu, rindu pada orang di Malaysia hilang diterbangkan bayu malam, kerna baru tersedar di Canberra pun ramai orang Melayu, sama sahaja seperti di Malaysia.

Saya tersenyum!

ii

Saya ditarbiyah oleh Madrasah Ibaraki oleh satu subjek "kerencaman bangsa". Dalam subjek rencam budaya inilah saya mengenali bro Qusai dari Jordan, bro Rames Dari Sri Langka, bro Syafiq dari Pakistan, bro Ismail dari Arab Saudi dan ramai lagi. Dan sampai sekarang saya masih mencicip kemanisan rasa ukhuwwah itu, meski saat-saat bersama mereka itu sudah hampir 6 tahun berlalu.

Di Ibaraki itu kami boleh duduk sekali, makan setalam, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan seperti bulan ini. Saya masih ingat, lebih-lebih kalau malam-malam 10 yang terakhir, kami bersama-sama berbuka, beribadah hingga ke solat fajr di surau kecil kami di Nakanarusawa sebelum berpisah. Dan saya masih rasa nikmatnya sampai sekarang. Kami betul-betul satu, tiada Melayu, tiada Arab, tiada, dan tiada istilah bangsa, kerna kami semua Muslim, kerna kami semua bersaudara!


"Hai Manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku supaya kamu saling mengenal, sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Mengenal. "
(49:13)

Tetapi, tetapi, tetapi di sini, di Canberra ... ada sendu dalam senyum yang saya ukirkan!

Kebetulan, semasa masyarakat Melayu beriftar Sabtu lepas, ia bertembung pula dengan iftar oleh masyarakat Islam Bosnia, di surau yang sama, surau ANUMA. Akhirnya, masyarakat Melayu mengambil bahagian hadapan surau, dan masyarakat Bosnia yang jumlahnya kurang lebih 30 orang berbuka di bahagian belakang surau. Masing-masing beriftar di dua ceruk yang berbeza, dengan juadah yang berbeza, dengan dengung bahasa yang berbeza ... TUAN, PUAN, mereka kan agama yang sama dengan kita, agama Islam!

Saya mengulum kesedihan, jauh-jauh, di sudut hati yang paling dalam. Sumpah, kesedihan itu masih terasa, merewang-rewang, menjerit-jerit, meruntun-runtun minta dilepaskan suara kesedihan itu.

Sungguh-sungguh saya digegar oleh kesedihan. Tetapi, saya tetap menampal senyum di bibir saya demi menyembunyikan kelukaan hati saya. Saya berfikir; kalau dua bangsa pun tidak mampu bersatu, beriftar sekali, di surau yang sama, di bulan rahmat Ramadan Mubarak, bagaimana untuk menyatukan seluruh bangsa yang bernaung di bawah satu payung rahmat? Bagaimana? Bagaimana untuk satukan Arab, Melayu, Afrika, Amerika, Jawa, Parsi, dan, dan, dan? Ah, padanlah bangsa Yahudi itu terus senang-lenangnya meratah umat Muhammad ini, tiada kesatuan!

Saya mencicipi kesedihan saya sendirian!


iii

Tidak! Saya tidak menyalahkan penganjur. Mereka telah menyediakan medan yang baik, cuma gagal dimanfaatkan sebaiknya.

Petang Sabtu lalu, di surau ANUMA, kita yang berjaya menjaring ikan kecil yang bernama bangsa tetapi terlepas ikan besar bernama ummah.


Petang Sabtu lalu, di surau ANUMA, saya tersenyum dalam sendu yang panjang!

Fikir-fikirkanlah!

3 ulasan:

tintaHati berkata...

Sayang ya, kalaulah ada seorang yang mampu menjadi pencetus suasana kok bagus bangat....

avie eicca berkata...

Kadang-kadang diperantauan, orang akan nampak bangsa dulu baru agama. Tapi apabila bangsa sendiri tidak ditemui maka saudara seagama pula menjadi tempat bermanja.Mungkin terlalu teruja berjumpa rakan serumpun maka terlupa tentang saudara yang satu lagi. Mungkin jamuan ramadan seterusnya boleh gabungkan pula dengan saudara seagama yang tidak sama bangsa.

Rotten Apple berkata...

Saya ingat saya sorang je yg rase camtu malam tu. Tak berani nak cakap apa2 sebab saya hanya musafir yang lalu bersinggah sekejap di bumi canberra, kebetulan ada rezki iftaar percuma :> i guess, communication barrier (language) is one of the factors too. Insya-Allah, if we could sit down and talk and plan for the next iftaar,that'd be good isnt it? (too bad I cant join next time :))