Ahad, Disember 09, 2007

SEPUTAR TALI LEHER

Assalamualaikum,

[Entry ini ditulis setelah dari berputar-putar di Sunday Market; seperti juga pasar pagi minggu kalau di Malaysia.]

Ada satu perkara yang menjadi kegilaan saya akhir-akhir ini - mengumpul tali leher!

Selama ini - sejak dari zaman persekolahan, universiti di Jepun sehingga balik bekerja dengan syarikat Jepun di Malaysia - tali leher, atau necktie ini menjadi satu benda yang aneh untuk saya. Boleh dikira berapa kali saya gunakannya, meskipun sebelum saya ke Jepun, saya sudah punyai beberapa koleksi yang cantik-cantik, yang dihadiahkan teman dan saudara-mara sebagai ucapan tahniah. Tetapi saya tak pernah pakainya, amat jarang!

Saya masih ingat lagi, hadiah terakhir yang saya terima dari emak angkat Jepun saya, Unesaki-san sebelum ke Malaysia pun tali leher. Warnanya merah, sebagaimana warna kegemaran saya. Beberapa minggu sebelum itu, sebelum saya balik, saya pergi ke rumah keluarga angkat Jepun saya itu, dan sambil-sambil makan-makan, bercerita tentang perancangan apabila balik ke Malaysia dan sebagainya, emak angkat saya itu sempat bertanya,

"Apa warna kegemaran Din-san?"

Apa lagi, "Merah!"

Dan sebelum balik, dapatlah saya sebagai sepasang tali leher warna merah!

Pun begitu, tali leher itu tak pernah dipakai. Iyalah, bekerja di kilang, memang diwajibkan mengenakan uniform kilang. Takkanlah mahu dipakai tali leher dengan uniform kilang - buat digelakkan oleh operator!

Keterangan gambar: Koleksi tali leher saya, 19 pasang semuanya - saya beli sendiri, diterima sebagai ole-ole daripada agensi-agensi kerajaan yang datang melawat ke sini, dan juga sebahagian lagi dikirimkan oleh Akmal, adik lelaki saya dari Malaysia. Dan cita-cita saya, mahu menambah lagi koleksi tali leher, biar penuh saya almari, ahaks!

Saya ke Australia akhir Jun lalu - berhenti kerja, malahan, kerana menemani isteri menyudahkan PhDnya. Setelah tiga bulan, bekerja tak menentu - cleaner dan customer services dengan restoran makanan segera, Kingsley's Chicken, dan akhirnya saya ditawarkan bekerja dengan Kedutaan Malaysia.

"Kena pakai suit tau!" Pesan Encik Fadil, Timbalan Pesuruhjaya yang juga jadi boss saya sekarang.

"Suit? Mestilah dengan tali leher, kan? Mana nak cari?" Saya resah sendiri, pun begitu saya tetap balas pesanan Encik Fadil dengan angguk.

Bayangkan, bersama saya pada masa itu hanyalah beberapa kemeja, beberapa helai seluar slack hitam dan biru dan tanpa sepasang pun tali leher. Mana tidaknya, saya tak pernah terfikir untuk bekerja pejabat sepanjang 3 tahun saya dan keluarga di Australia ini. Tak pernah!

Ini baju kerja pertama yang saya beli! Saya beli sehari sebelum saya mulai bekerja di Kedutaan Malaysia. Harga yang paling murah saya cari dan akhirnya beli - AUD20 siap sekali dengan tali leher.

Petang itu, selepas bekerja di Kingsley's Chicken, saya terus ke Big-W, pusing-pusing, cari-cari, dan belilah yang hijau pucuk pisang ini. Paling murah, paling cantik, dan paling sesuai untuk orang yang tak berapa berduit seperti saya pada masa itu. Berdebar juga, maklumlah, nak masuk kerja pejabat - sesuatu yang tak pernah termimpi oleh saya selama ini. Sungguh!

Dan sejak itu, pantang masuk kedai pakaian, atau pasaraya,

"Aichan (panggilan untuk isteri saya), cantik tak tali leher nih?"

Kemudian isteri saya akan samada angguk ataupun geleng. Dan akhir-akhir ini, isteri saya makin pening dengan saya - asal nampak kedai pakaian, sembari kaki seperti terprogram melangkah ke tempat jual tali leher.


Bayangkan, kurang lebih 2 bulan bekerja sudah punyai 19 pasang tali leher. Maknanya, secara purata 10 pasang sebulan, atau 2 helai setiap minggu. Cuma saya harap isteri saya taklah sampai tahap membebel akan kegilaan saya yang satu ini.

Dan ini - hitam berjalur dan kuning - koleksi terakhir yang saya "sapu" semalam di Brand Depot, ketika keluar membeli-belah dengan isteri dan anak, sambil menanti ketibaan pegawai Imigresen, Azhar dan keluarganya sampai di Canberra Airport dari Sdyney.

Mujur juga, pagi tadi, selepas putar-putar Sunday Market, saya tertarik dengan sepasang tali leher (seperti dipukau pun ada, ahaks!)

"Dah ada, corak macam sama dengan yang ada di rumah!" Nasihat isteri saya. Dan ia seperti hand-brake, saya terberhenti, tak jadi beli.

Pun begitu, saya tahu - ironi hand-brake, apabila ia dilepaskan semula dan kegilaan saya pada tali leher berulang kembali.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

abg deen!!lama tak bc blog...lupa add...hari nih br dpt bc balik...rajen2 laa tulis...dr dulu tgg tulisan abg deen!!slmt menempuh idup di bumi kangaroo lak(^_^)

Tanpa Nama berkata...

hihi menarik plak cite psl neck tie neh ..

-Mai-