Selasa, September 11, 2007

RAMADAN OH RAMADAN

Assalamualaikum,

Semalam, ah, mentari betul-betul hilang, entah bersorok di jihat timur, atau barat atau mana-mana, yang pasti bumi Canberra terlalu suram, suram sungguh! Suram kerana mendatangnya Ramadan yang bahagia itu? Entahlah! Dan tiba-tiba bumi Canberra disimbah hujan pula jadinya. Hujan rahmat mengirimkan bayu Ramadan yang tak sabar-sabar untuk melebarkan sayap keberkatannya.

Bercakap tentang Ramadan tahun ini, saya seperti tidak sabar jadinya. Jauh lebih gembira menanti datangnya bulan keberkatan itu berbanding dahulu-dahulu, samada menyambut Ramadan di Jepun untuk lima musim, atau di Malaysia sekembalinya dari tanah sakura untuk tiga tahun. Kali ini rasanya lain! Kali ini rasanya lebih semangat!

Doakan saya dan keluarga ya!


Kak Ana awal-awal sudah maklumkan hari pertama berpuasa beberapa orang undergrade berhajat untuk iftar dan bersolat terawih di rumahnya. Dan yang diminta jadi imamnya, ah, pak lebai inilah (saya? aduh!) Mungkin ini nikmat Ramadan di tempat orang, agaknya. Iyalah, kalau di Malaysia amat jarang saya menjadi imam, kecuali sesekali kala balik ke kampung di Perlis, disuruh jadi imam di surau kami - nak dengar suara orang Kuala Lumpur! Itulah sesekalinya saya jadi imam Terawih di Malaysia, selebihnya jadi makmum belaka-belaka. Tetapi, kalau tersesat ke daerah yang tidak ramai alim-alim seperti di Canberra, ah, saya yang tak pandai ini pun terpilih untuk jadi kepala sembahyang Terawih. Fuh!

Nampaknya aktiviti bulan Ramadan di sini agak meriah, dan serasa-rasa kalendar sebulan nan berkat ini akan segera penuh. Semalam pun ada mesyuarat di kalangan EXCO MASAC (Malaysian Student Association of Canberra) khususnya untuk mengisi jadual aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini (oh, isteri saya terpilih untuk jadi AJKnya, AJK yang dilantik, bukan dipilih, tau!) Dari saya - tahniah atas keprihatinan kalian untuk menghidupkan Ramadan kali ini. Cuma, cuma, cuma yang tak berapa sedapnya - nama saya naik juga untuk aktiviti malam-malam Ramadan tu, aduh, apalah budak baru seperti saya boleh buat?

Ramadan, datangnya dengan keberkatanmu. Tuhan, pinjamkan kami kekuatan.

Oh ya, terima kasih adik-adik! Terima kasih kerana membawa saya kembali ke zaman muda-muda saya (eh, sudah tua sangatkah saya ini? senyum!), zaman muda-muda, zaman tengah semangat seperti di Jepun dulu-dulu. Terima kasih.

Semalam, menerima jemputan seorang adik untuk halaqah ilmu. Oh, sesuatu yang agak lama saya tinggalkan, dek kerana kesibukan, dek kerana komitmen lain yang rasanya lebih aula dan lebih utama. Dan semalam, saya kembali ke zaman duduk berteleku sesama rakan-rakan dalam lengkuk bulat sambil bercerita tentang sirah nabi, sambil bercerita kebesaran Tuhan. Menarik kan zaman tu? Kalau anda pernah makan gula, anda akan tahu betapa manisnya sebutir gula!

1 ulasan:

Achik_Sufi berkata...

salam ramadhan...jangan tinggal puasa erk...kim salam kat kluarga...