Selasa, September 04, 2007

APA-APA SAHAJA

Assalamualaikum,

Fuh, boleh tahan letihnya. Almaklumlah, awal-awal pagi mencuci bangunan dan balik tu terus sahaja bekerja di restoran makanan segera. Pelanggannya? Kalau dari jam 12:00 sampai jam 2:00 tu, aduhai tuhan. Bersusun!

Ini baru sampai balik, sembahyang Asar dan jenguk-jenguk internet. Ilham hari ini dihantar dengan Kak Ana Indonesia untuk dijaga sebab saya kan kena bekerja. Sekejap lagi ummi dia balik dari universiti dan langsung ambilnya di rumah Kak Ana di kawasan Sterling, sekitar 10 minit dari rumah saya.

Aha, sesuatu yang saya suka dengan Canberra; tiada kesesakan lalu-lintas! Oh, alangkah indahnya. Saya, sebelum ke sini, sejak berkahwin Mac 2006 menyewa sebuah rumah flat 3 bilik di Bukit Kinrara, Punchong, bekerja pula di Petaling Jaya. Kesesakan jalan-raya? Jangan cakap lah! Paling kurang saya kena ambil masa 45 minit untuk sampai ke tempat kerja, walhal jaraknya tak sampai pun 20km. Punyalah sesak kawasan-kawasan sekitar bandar Sunway, jambatan kabel dan kemudiannya Federal Highway. Tetapi, di sini - lapang! Ya, Australia dengan status sebuah negara benua dan kepadatan penduduk antara terendah di dunia, kesesakan adalah sebuah mimpi yang mustahil!



Keterangan gambar: Balloon Festival yang merupakan acara tahunan yang meriah di sini



Saya sudah memulakan proses penulisan untuk karya novel kedua saya dengan tajuk cadangan ZIKIR-ZIKIR CINTA (ah, mengambil berkat dari AYAT-AYAT CINTA yang meletup-letup, ahaks!) Tetapi baru panas enjin orang kata, baru berada pada bab-bab awal. Kali ini latar cerita tentulah sekitar bandar Canberra. Habis? Takkanlah saya nak menulis menggunakan latar Jepun lagi? Lagipun karya novel pertama saya dengan tajuk cadangan CINTAKU SAKURA PUTIH (sedang diedit dan menunggu kelulusan penerbit!) sudah mengambil latar bumi sakura yang sudah saya tinggalkan hampir 4 tahun.

Dalam ZIKIR-ZIKIR CINTA, akan bertemulah sungai-sungai Sullivan Creeks yang mengalir di tengah-tengah Australian National Universiti, akan ada Lake Burley Griffin di kawasan City of Canberra, akan ada, akan ada, ah, banyaklah! Tunggulah, saya pun tak tahu ke mana sudahnya novel kedua saya ini - doakan saya!


Keterangan gambar:

Ini adalah sebahagian dari City of Canberra dengan Lake Burley Griffin yang biru (oh, di situlah Katie Hayne, gadis Australia yang menjadi watak utama menjadi resah kerana teringatkan Haikal, anak duta Malaysia ke Australia.) Jambatan yang kelihatan adalah Commonwealth Avenua Bridge dengan daratan sebelah kiri adalah kawasan Yarralumla dan sebelah kanan, yang tiada dalam gambar adalah City of Canberra sebagai ibu negera kepada Canberra.

"Tiga tahun awak di Australia, sepatutnya awak ada tiga buah novel!" Itu cabaran En Fauzul, Pengurus PTS Millenia kepada saya sebelum saya berangkat ke sini pada akhir Jun yang lalu. Nah, saya sedang berusaha sungguh-sungguh ke arah itu. Sekali lagi, doakan saya!

1 ulasan:

AinulMalik berkata...

dah keluar buku tu inform pada saya ya..(^^,)