Isnin, September 17, 2007

SEMPURNAKAH RAMADAN KALI INI?

Assalamualaikum,

Ah, tak banyak benda-benda baru yang berlaku minggu lepas, termasuk hujung minggu. Almaklumlah, masing-masing kalut dengan persiapan Ramadan, dan aktiviti lain banyak yang dikuaratinkan untuk sementara waktu. Baguslah, kan?

Ramadan di Canberra ini bermula dengan Iftar ramai-ramai di rumah Kak Ana. Penuh satu rumah, riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil yang menangis, diusik oleh ibu-ibu dan bakal-bakal ibu, tawa yang kadang-kadang terpecah dek kelucuan, dan yang pastinya perut kekenyangan. Eh! Mana ruh Ramadan kalau sudah terlalu kenyang amat? Em, kena-kena dimuhasabah balik nih. Apapun, terima kasih Kak Ana - yang pasti pertemuan iftar pertama itu sesuatu yang meninggalkan bekas - paling kurang bertautnya ukhuwah dengan lebih akrab.

Bagi saya, berpuasa, beriftar dan bersolat terawih di Canberra, terlalu jauh berbeza dengan suasana yang saya alami semasa di Hitachi dulu. Ya, kalau di Hitachi, kami yang kurang lebih belasan orang sahaja yang Muslim, yang berpuasa. Itu termasuklah pelajar Malaysia, pelajar Jordan, pekerja Pakistan sekeluarga, dan bro Ramis dari Sri Langka sekeluarga (apa khabar agaknya mereka di Hitachi sana?) Tetapi, Ramadan di sini, jumlah Muslim Melayu sahaja, sudah melebihi angka 50 orang. Ramai! Kalau di Canberra Mosque, khususnya kalau saya bersolat Jumaat di sana, jumlah Muslimnya mungkin lebih dari 500 orang. Saya pasti! Bayangkanlah jumlah yang begitu ramai tak terhingga (untuk status sebuah bandar di negara bukan Islam - 500 orang satu jumlah yang boleh dikira besar!)

Jumaat yang lepas, sebelum bersolat, tuan imamnya sudah mengumumkan, setiap hari ada iftar dan jemaah maghrib, ada solat isyak dan terawih, dan solat fajr berjemaah. Wah, saya rasa tiada beza langsung dengan mana-mana negara Islam. Teringat kata ustaz Anuar dari Sdyney University yang datang memberi ta'lim hari Sabtu lepas; "rasa macam bukan duduk di Australia, tetapi macam duduk di belah-belah Arab sahaja, apatah lagi pada 10 malam terakhir .."

Keterangan gambar:

Canberra Mosque di Yarralumla yang betul-betul berdepan dengan Kedutaan Malaysia. Di sebelah Kedutaan Malaysia, satu tapak kosong untuk dibina Kedutaan Iran pula. Menarik, bukan lokasinya?

Kalau hari Jumaat, saya akan parkirkan kereta saya di dalam kawasan Kedutaan Malaysia sebelum berjalan beberapa langkah ke Canberra Mosque yang penuh sesak dan berhimpit-himpit dengan brother-brother yang berbagai bangsa untuk bersolat Jumaat.


Alhamdulillah! Betapa cahaya Islam itu ada di mana-mana. Betapa saat-saat cahaya Islam itu cuba ditutup oleh tangan-tangan munafikun, kafirun, nah, Tuhan menunjukkan kekuasaaanNya, memelihara cahaya Islam itu sampai bila-bila. (As-saf:9)

Dan lagi, masyarakat Melayu di sini memang murah rezeki betul, kami dijemput lagi beriftar ramai-ramai di Belconnen, di rumah saudara Nadim dan Kak Suriati. Sekali lagi, pada jalur-jalur Ramadan itu datanglah lembayung keberkatan, bunga-bunga kemesraan yang saya harap kembangnya tidakkan terlayu.

Oh ya, betapa meriahnya Ramadan kali ini di bumi Canberra, MASAC (Malaysian Student Association of Canberra) menganjurkan Majlis Ta'lim petang Sabtu lepas, sebelum kami ramai-ramai (sebahagian daripadanya sahaja) beramai-ramai ke rumah saudara Nadim untuk iftar. Ah, terasa sungguh rahmat Ramadan di tanah orang. Alhamdulillah!

2 ulasan:

syeikh al yabani berkata...

Bilalah nak sampai Australia?..

Achik_Sufi berkata...

puasa jangan tak puasa...