Ahad, Disember 16, 2007

REZEKI TERPIJAK DI GARAGE SALES

Assalamualaikum,

"Abang, bangun cepat!"

Saya dengan malasnya mengenyeh-ngenyehkan mata, dalam silau-silau cahaya mentari pagi yang mencuri-curi dari balik tabir bilik yang berwarna coklat cerah, saya meneropong jam digital tercatuk atas meja solek;

"Aduh, 8:30 pagi ... " Malasnya.

Semalam, hari Sabtu, hari cuti dan memang tak punya sebarang perancangan untuk cuti-cuti Australia pun. Jadi, memang kesiangan lah jawabnya.

Sekarang di Australia, sementelah namanya musim panas Subuh masuk terlalu awal, seawal jam 3:45 pagi. Dan lepas berjaga sekejap untuk Subuh, saya dan isteri merantaikan mimpi semula. Mahu berjaga, menanti sehingga siang? Aduh, Tuhan!

"Kenapa, ada rancangan nak ke mana-mana?" soal saya dengan suara yang serak-serak. Ilham sudah mulai merengak - minta susu.

"Garage sales!" balas isteri yang nampak tergesa-gesa bersiap.

"Ada mainan kanak-kanak, cepatlah!"

Di sini, garage sales sesuatu yang popular, sebagaimana popularnya Sunday Market untuk peminat barang-barang second-hand seperti kami (baca: orang-orang tak kaya! ahaks) Cuma bezanya garage sales dibuat di rumah orang yang mahu menjual barang-barang terpakai sedangkan Sunday Market adalah jualan seperti pasar pagi hari minggu, tetapi banyak menjual barang-barang terpakai yang rencam jenis dan rupanya.

Saya yang malas, terpaksa juga bergegas. Kasihan juga bila teringatkan Ilham - anak ini memerlukan permainan yang beraneka, sesuai dengan usianya yang mengetuk angka 10 bulan hujung bulan ini.

Nah! Hajat hati nak belikan Ilham dengan permainan, tetapi tak banyak barang mainan terpakai yang dijual. Alih-alih - nah, kami belikan Ilham dengan buku-buku bergambar. Dan untuk permainan, hanya satu - playgym, yang dijual dengan harga 5 dolar.

Anak saya yang seorang ini, pantang tengok saya atau isteri saya membaca, memang datanglah dia dengan merangkak dan menyulur dalam susah-payahnya - mahu menumpang baca, kononnya. Jadi, elok benarnya kami belikan dia buku-buku bergambar, harapnya tak mengganggu kami membaca.



Tengoklah Ilham tu, bersemangat membaca. Cuma, yang memeningkan saya saat ini - Ilham suka mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer, apatah lagi kala-kala saya menulis, seperti sekarang ini pun. Aduh, kena cari komputer kanak-kanak lah pulak nampak gayanya.

"Gembira betul Ummi!"


Lebar senyuman isteri tersayang tatkala pulang dari garage sales. Mana tidaknya, sebahagian dari 21 buah buku yang dibeli di garage sales semalam itu adalah buku-buku yang kaitan dengan subjek yang tengah ditukangi oleh isteri saya di makmal eksperimennya.

"Untung kita abang, buku-buku ini memang Ummi nak beli sejak dari zaman Ummi belajar kat Jepun lagi. Sekali, dapat beli dengan harga murah. Syukurnya!"

Bayangkan, buku-buku rujukan yang mahal ini boleh dibeli dengan harga yang murah, terlalu murah - 21 buah buku; buku bergambar Ilham dan buku-buku tebal isteri saya dijual dengan harga borong, A$ 15. Siapa yang tak tersenyum sampai telinga.

"Selama ini, malu jugak Ummi nak pinjam buku Morgan kalau ada apa-apa. Ini dah ada buku sendiri, semangat lah sikit!" Senyuman isteri saya memang murah, semurah rezeki kami pada pagi hari Sabtu.

Saya lihat tanda harga yang masih terlekat cantik di belakang buku-buku tebal yang dibeli isteri;

  • Immunohematology - A$ 126.50
  • Principles of Biochemistry - A$ 94.95
  • Lecture Notes On Clinical - A$65.74
  • Analytical Chemistry - A$ 106.31

Dan beberapa buku lagi tiada tanda harga, pun harganya saya agak sekitaran A$100.00 juga. Ah, sudah namanya rezeki Allah, maka saya dan isteri harus jadi hambaNya yang lebih-lebih bersyukur dan sujud lama kepadaNya.

Tiada ulasan: