Jumaat, Jun 19, 2009

PINDAH KE HTTP://ILHAMHAMDANI57.BLOGSPOT.COM

Assalamualaikum,

Pindah Rumah!

Mulai penghujung Mac 2009, saya sudah menulis di blog baru,
SURAT-SURAT DARI SELATAN.



Kalau mahu baca entri-entri baru, jenguk-jenguklah.

Terima kasih juga sudi bertandang ke sini dan meninggalkan pesan.

addeen bandarsepi/ilhamhamdani

Ahad, April 13, 2008

KEDINGINAN ITU MENCABAR KEIMANAN

Assalamualaikum,


Dedaun maple pun mulailah kuning dan keorenan, cukup untuk melukiskan kanvas wajah Canberra dengan warna-warna cantik. Jalan-jalan yang saya selalu lalui seperti Ainsworth Street di depan rumah sewa, Empire Circuit ketika mampir ke pejabat, atau Somers Crescent yang duduknya Malaysia House, yakni rumah Tuan Pesuruhjaya Tinggi yang sudah dikosongkan - semuanya jadi kuning cantik tak terperi.

Sedang, kelam pun mula berkuasa sejak jam 5 lebih sedikit, dengan Maghrib bermula seawal jam 5:40 petang untuk hari ini. Dingin pun mulai berjinak-jinak untuk menguasai seluruh buana Canberra ini, dan musim dingin - sesuatu yang tak teringin oleh saya - akan datang dalam waktu dua, atau tiga minggu ke depan. Aduhai!


Maafkan saya, saya sedikit membenci akan kesejukan! Kalau diberi pilihan antara musim sejuk, atau musim panas, dan semudah ABC, saya memilih untuk musim panas. Pedulikan, orang kata musim sejuk cantik sebab ada salji. Endahkan, orang kata musim panas melekit. Tetapi, untuk saya - bersama datangnya musim sejuk dan kemalasan saya menjadi-jadi. Aduhai!

"Aku, kalau boleh, sejak-sejak masuk sejuk nih ... tak mahu ke mana-mana, nak duduk di bilik saja!" Hatta, menyambut bicara saya dengan tawanya yang terburai.

Yang terbayang saat-saat mulai berdingin begini hanyalah gebar tebal dan pemanas elektrik. Teringat zaman-zaman di Jepun dulu-dulu, kalau musim fuyu sahaja, ia terlalu sinonim dengan kotatsu; meja rendah empat segi berpemanas dan mikan; buah limau mandarin yang manis-manis. Ah, dua benda itu sesuatu yang wajib mesti seperti sahaja menjadi budaya kalau di negeri sakura itu. Tetapi, saat-saat mulai berdingin di bumi Kangaroo ini, saya sendiri tak pasti apa yang menarik untuk diperceritakan.

Apapun, cabarannya tetap sama - susahnya kalau mahu bangun bersubuh. Aduhai! Boleh dibayangkan, dengan suhu yang kadang-kadangnya bisa sahaja turun serendah 0 darjah, sedang enak beradu di bawah gebar tebal, dan tiba-tiba bunyi alarm berbunyi demi waktu Subuh yang menggetarkan iman. Tercabar sungguh!

Nah, itulah pada saya, sebuah cabaran teragung di kala-kala kedinginan yang mencengkam tulang belulang. Dan ketika itulah terujinya iman seorang anak Adam - demi mengangkat sehelai gebar tebal yang beratnya tak lebih dari 1 kg. Termampukah, atau imannya itu tetap bergoyah dan ditertawakan oleh musuh-musuh Adam yang empunya namanya Iblis.

"Wahai orang yang berselimut!
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! "

Ahad, April 06, 2008

PASCA-PRU12: KUNCI MULUT - BANYAKKAN KERJA!

Assalamualaikum,


"Dashyat betul orang China nih berniaga ya, Dr," sembang saya di celah-celah manusia yang berpusu-pusu, macam semut sahaja layaknya di Paddy's Market, di tengah-tengah George Street di Metropolis Sydney.

Siang tadi, setelah menghantar pulang "orang besar" yang tamat tempoh perkhidmatannya di Airport Sdyney, dan juga pencen, kami langsung ke Paddy's Market - sebuah pasar besar, seperti juga Petaling Street kalau di Malaysia. Barang dan orang hampir punya persamaan - barangnya banyak yang dari China, dan orang yang meniaga pun bangsa China!

Hajat hati, mahu beli sedikit barang cenderahati, kata Dr, untuk dibawa pulang ke Malaysia ketika pulang bercuti minggu depan. Kami yang lain, ikut membeli buah-buah yang murah betul di sini. Aha, kalau anda datang ke Sydney mesti wajib ke sini, ya!

"Orang-orang China, bahkan apa-apa bangsa pun, kalau banyak usaha, sungguh-sungguh, tak ke mana, mesti berjaya!" balas Dr yang masih menghulu-hilirkan anak matanya, memerhatikan sayur dan buah yang harganya memang murah kalau mahu dibandingkan dengan harga di tempat kami di Canberra.


"Orang Melayu pun boleh bagus berniaga, Dr?" tukas saya, sekadar merancakkan sembang, tambah saya sekadar menambahkan hangat-hangat pada suhu yang semakin mendingin kerana benua Australia yang memasuki fasa-fasa musim sejuknya, malam-malam menjelang ke pagi yang suhunya sudah mulai turun ke angka-angka 3 darjah, dan mungkin sedikit hari lagi akan turun ke angka 0, malahan lebih rendah dari itu.

"Bolehhh! Banyak kerja, banyak fikir, kurangkan cakap, InsyaAllah!" Ada senyum, ada makna yang mendalam oleh Dr. muda, Dr yang bukan pandai merawat, tetapi Dr. dek kerana mengaji tinggi.

Sesampainya di rumah, setelah 3 jam perjalanan balik antara Sdyney dan Canberra, saya belek-belek internet - meneropong atmosfera politik tanahair, sambil-sambil membuat ramalan cuaca politik esok hari, samada mungkin sinar bercahaya megah, atau wajah berkabus suram.


Ironisnya, sama seperti bangsa China yang meniaga, bukan setakat meniaga di pasar Paddy's Market di Sydney sahaja, malahan meniaga di mana-mana pun, "banyak kerja, banyak usaha, kurangkan bercakap!"

Nah, sepatutnya MP-MP Malaysia, samada yang baru atau yang lama, samada dari BN ataupun PR, semangat dan tekad, seperti juga peniaga-peniaga China di Paddy's Market wajar diambil jadi contoh - kuncikan sedikit mulut, ringankan sedikit tulang, bekerja untuk rakyat!

Para MP sekalian,

Masa untuk berkempen, buka mulut luas-luas, bercerita dengan rakyat apa yang anda MAHU buat sudah selesai. Sekarang masa untuk anda ringankan tulang cukup-cukup. Rakyat MAHU lihat apa yang anda MAHU buat.

Kurangkan cakap-cakap yang tak sepatutnya - "kami lebih layak menjadi teraju pakatan", "kepimpinan lama harus berundur untuk kami naik memimpin" pada saya, adalah nada-nada dan cakap-cakap politik zaman lama, zaman yang dikatakan orang, letak calon kayu pun boleh menang. Zaman itu sudah berlalu, sudah lapuk!

Zaman sekarang, rakyat mahu lihat, tak kira siapa pun anda, BN kah, PR kah, siapa yang boleh menawarkan rakyat sesuatu yang lebih, maka dialah pilihan rakyat. Zaman sekarang, rakyat mahu lihat apa yang boleh dijelmakan di depan mata, setelah beberapa ketika sedikit terkecewa.


Dan inilah pun cabaran yang ada di depan para MP. Cabaran bagaimana menukar cakap-cakap kepada kota-kota; kota adil, kota makmur, kota sejahtera yang sentiasa menjadi mimpi-mimpi para marhaen, samada tidur di siang hari, apatah lagi malam-malamnya yang dingin.

Saya cukup meyakini akan idea-idea para MP, cuma cabarannya adalah bagaimana menyalurkan idea yang bagus-bagus itu lebih banyak kepada tangan yang bekerja, berbanding kepada mulut yang bercakap, cakap-cakap seperti "kami lebih berhak jadi ketua," sebagai contohnya.

Saya taklah berkata: cakap itu tak penting. Ya, saya tahu, cakap juga penting, tetapi lebih penting adalah kerja. Kerana sekarang masa rakyat yang memilih anda sedang memberi markah kepada anda, para MP. Jangan sampai rakyat berkata begini: "ah, wakil rakyat nih macam yang lama, cakap lebih, kerja kurang!" Maka, barang harus diingat, akan ada PRU13, 14 dan seterusnya, selagimana Malaysia meneruskan dasar demokrasi, dan tentu sahaja rakyat akan memangkah yang sebaliknya jika para MP sekarang lebih banyak bercakap berbanding bekerja. Nah, inilah cabarannya!

Pelawaan, atau boleh sahaja disebut juga sebagai cabaran oleh MB Kelantan kepada Tuan MP Karpal Singh boleh diangkat sebagai contoh yang baik, yang harus diteladani : "Datanglah ke Kelantan, tanya dengan rakyat Kelantan!" Itu cara MP yang "jantan" pada saya, tak bercakap banyak, datang, tanya dan lihat dengan mata sendiri.

Betapa sirah pun dengan tajuk sama - yang memeluk Islam dengan Nabi saw adalah lebih ramainya memeluk Islam kerna tertariknya mereka dengan akhlak Nabi, cara tadbir urus Nabi. Akhlak Nabi itu adalah realiti, sesuatu yang boleh dilihat dengan mata hidup oleh non-muslim yang kemudiannya menjadi magnet untuk mereka memeluk Islam.

Dan itulah yang saya cabarkan kepada para MP - kurangkan bercakap yang remeh-temeh, bekerja dengan lebih banyak untuk kebahagiaan rakyat, sebagaimana manifesto anda, dan sebagaimana ditunjukkan sirah junjungan saw, dan seperti juga para peniaga China di Paddy's Market Sdyney - buat kerja betul, betul-betul dan hujungnya kejayaan.

Ahad, Mac 30, 2008

HIDAYAH CINTA: ANTARA LAYU DAN HARAP

Assalamualaikum,

"Maaf Encik Ilham, mungkin Hidayah Cinta tak sempat dicetak untuk Pesta Buku nanti," balas Nor Hafizah, editor PTS.

"Oh, ok ..." balas saya, mengulum kesedihan sendiri.

Apa nak dikata? Salahkan PTS? Tak mungkin! Saya cukup yakin, terlalu yakin, malahan tim PTS sudah melakukan terbaik untuk semua buku yang mahu diterbitkan - tiada istilah anak emas mahupun anak tiri pada PTS - itu yang saya yakini.

Apa nak dikata? Mahu salahkan nasib, atau takdir Tuhan. Asta'firullah.

Tetapi jauh di sudut kecil saya, "Kalau ada rezeki, adalah Hidayah Cinta di Pesta Buku nanti!"

Yeah, hidup mesti optimis, kan?!

Ya, Hidayah Cinta - novel saya yang pertama, setelah Mekar Sakura Di Mimbar Cinta, sebuah himpunan cerpen-cerpen saya diterbitkan PTS pertengahan tahun lepas.

Juga sama - mengambil latar Jepun yang saya tinggalkan, yang dirindu-rindukan itu sebagai kanvas susur galur penceritaan, seperti komen dari novelis John Norafizan ;

“ Membaca karya Ilham Hamdani ini bagaikan menyusuri sendiri jalanan sepi di Ibaraki, bagaikan senafas dengan nafas Umar Thilmisani, bagaikan berada di dalam resah dan harap Ayumi. Penceritaan yang terkesan di hati. Sarat dengan sempadan dan teladan. Dan ingatan pada Dia yang berkuasa di atas tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Novel yang segar persis bunga-bunga sakura yang tidak akan hilang seri, meski alam saling bergantian antara musim-musim dingin yang menikam, bunga yang riang, panas yang menggigit dan luruh yang asyik.”

"Kenapa berebutkan Pesta Buku tu?"

Jawapannya mudah: semua yang terlibat dengan dunia buku; penerbit, pembaca, pembekal buku-buku kontrak kerajaan, bukan sahaja dalam Malaysia, bahkan luar negara akan ke sana untuk menjadi yang terbaru, terbagus, dan membelinya.

Lalu? Dari segi logik bisnisnya, mana yang terpamer di sana akan punya kelebihan dari sudut skop pemasaran yang luas. Pun begitu, rezeki itu kan di tangan Tuhan!

"Hidup mesti berfikir positif, optimis, bukan?"

Oh ya, saya sedang mengumpul aura, sebetulnya, untuk novel kedua saya, seputar kehidupan sehari-hari di benua Australia ini pula. Doakan, doakan, doakan saya!


Selasa, Mac 25, 2008

DALAM PAHIT ADA MANISNYA

Assalamualaikum,

Pesan isteri saya pagi Ahad yang lalu, "sabarlah! Baru diuji sedikit. Kita nih terlalu banyak sangat nikmat hingga apabila datang sedikit ujian, jadi cepat keluh-kesah!"

Saya terdiam, tak terjawab.

Isteri senyum menghantar makna-makna tenang, sang anak tertawa diagah, sedang saya diam mengumpul muhasabah.


Minggu lepas memang cuti panjang - bermula dengan Maulidur rasul (untuk kami yang bekerja di Kedutaan Malaysia, seperti saya!), kemudian Good Friday (dikaitkan dengan peristiwa Allah mengangkat Nabi Isa as ke langit), kemudian hujung minggu Sabtu dan Ahad, dan Isninnya Easter Monday (keterangan gambar: telur seringkali dijadikan simbol, sesuai dengan kefahaman Kristian tentang turunnya Nabi Isa as)

"Wah panjang betul!" Sorak kami.

Saya bawa isteri dan anak bermalam di Sydney, di Novotel Darling Harbour, sebetulnya.

"Abah baiklah Ilham, " bicara isteri dengan anak kecil saya yang sebetulnya masih belum pandai bercakap - seketika setelah check-in di bilik 923, di puncak hotel di tubir teluk Sydney yang cantik sungguh.

"Sekadar ini sebagai hadiah ulangtahun kita yang kedua," balas saya, malu-malu, merenung laut yang terhias dengan kapal-kapal layar yang pelbagai. Orang di pesisir laut, kelihatan sepertinya anak-anak semut yang mengunjungi ketul-ketul gula putih.

Esoknya, saya bawakan isteri dan anak cruise - menakluk indahnya Sydney dari atas kapal. Memang seronok, hilang segala penat lelah bekerja.

Ah, dalam manis kadang-kadang ujian Tuhan itu datang, bukan?

Dalam perjalanan balik, sebelah petangnya injak-injak ke senja, kereta saya pun meragam. Langsung tak boleh dibawa bincang lagi, sudahnya tersadai di tepi jalan. Jalan terakhir, telefon NRMA (seperti juga PLUS kalau di Malaysia) untuk menunda kereta saya ke bengkel terdekat.

Kereta ditinggalkan di bengkel. Saya? Separuh jalan dibawakan teman-teman di Sydney, dan separuh jalan yang Canberra diambil oleh teman dari Canberra.


"Manisnya persahabatan teruji kala-kala kesusahan," saya menyimpul kata-kata itu di dalam hati, menebarkan tekad untuk terus memurnikan rasa persahabatan - melewati ras dan agama, InsyaAllah.

Ah, betul sungguh - dalam pahit ada manisnya, manis rasa persahabatan, seperti jua di balik kelabu awan kelak akan terlihat sinar mega nan cantik berseri.

"Terima kasih, sahabat!" Hati saya tetap bertasbih begitu, meski pahit-pahit ujian masih meruap meninggalkan sisa kenangannya.

Isnin, Mac 17, 2008

DAN PERTAPAAN ITUPUN TAMATLAH!

Assalamualaikum,

"Oh Tuhan!" Sesungguhnya hampir-hampir tiga bulan saya langsung tidak men"tadbir" BandarSepi; samada mengirimkan entri-entri terbaru mahupun menjawab ikut kotak-kotak menjerit di sisi kanan blog saya. Sepi sungguh BandarSepi!

Saya tak tahu kenapa, dan juga mengapa? Idea saya jenuh, sebetulnya. Kala datangnya tahun baru, samada tahun baru kalendar lunar, mahupun kalendar Hijrah, ketika Februari mengambang dengan cinta-cinta Valentino, mahupun pada kehangatan PRU12 yang mengejutkan. Semuanya ada sahaja yang saya terfikir untuk berkata, berkongsi rasa.

Tetapi, begitulah, apa nak dikata?

Bukan itu sahaja, sepanjang-panjang tempoh "pertapaan" saya tak berkarya langsung; novel kedua yang terbengkalai, biarpun Tuan Fauzul Pengurus PTS Millenia tak putus-putus meniupkan api perjuangan, cerpen yang tak terberhasil meskipun satu, hatta apa-apa penulisan sekalipun. Kalau ada pun, sekadar pembacaan yang biasa-biasa sekadar memastikan saya ini hidup, bukan mati.

Oh Tuhan!

Sejak akhir Disember hingga hari ini, ibaratnya saya terempang - punya idea, tetapi idea itu terkepung, terempang, tak terkeluar dalam bentuk tulisan. Sungguh! Itulah yang saya rasa. Saya mahu bercerita dengan kalian, tentang keluarga saya, anak saya Ilham yang sudah setahun dan beberapa minggu, misalnya, bercerita tentang cuti-cuti Australia saya ke Melbourne, hingga ke kota lama Ballarat, misalnya, ah, pokoknya banyak benar yang mahu diomel-omel bersama kalian. Tetapi, begitulah tangan saya kaku, nafsu saya terberhenti pada saat di hadapan komputer.

Kenapa, ya?


Saya harap, doa, iltizam sungguh-sungguh, saya mahu terus menulis. Saya mahu setiap langkah dan derap kaki saya di bumi Australia ini dikongsi bersama, paling tidak untuk saya baca pada hari-hari depan saya. Manis, bukan?

ii

17 Mac 2006 - 17 Mac 2008. Mungkin kebetulan, saya menulis kembali pada tarikh keramat ini. Sungguh, sesuatu yang tak terrancang!

Ini tarikh perkahwinan saya, sebetulnya. Ah, sepanjang-panjang jejak dua tahun yang terdahulu banyak benar yang boleh saya pelajari, yang mahu saya pelajari, dan yang mesti saya pelajari. Semuanya untuk menjadikan saya yang lebih baik, lebih baik sebagai seorang manusia yang namanya Izuddin, yang lebih baik sebagai seorang suami kepada seorang wanita bernama Amalia, dan tentunya lebih baik sebagai seorang ayah kepada seorang anak kecil, Muhammad Ilham.



Selasa, Disember 18, 2007

SIBUK BERAYA?

Assalamualaikum,


"Maaf, saya tak sempat nak siapkan benda nih, saya sibuk!"

Saya benci dengan jawapan-jawapan yang sebegini, sebetulnya. Pada saya, bukan masalah tidak ada masa, mustahil! Awak kata awak tiada masa, soalnya, kenapa orang lain ada masa? Saya tak fikir antara dua orang hamba, Tuhan membeza-bezakannya dalam soal penganugerahan masa. Pokoknya - tidak pandai mengurus masa!

Ironinya - saya baru sahaja menerima tugasan baru dari "boss kecil" saya, baru sebentar tadi. Yang aneh dan membuatkan hati saya sedikit menggelegak ialah tugasan itu diberikan oleh "boss kecil" saya setelah orang yang sepatutnya membuat kerja itu tak membuatnya. Dan alasannya - tak ada masa!

Geram betul!

Tidak, saya tak kisah pun untuk membuat kerja yang diminta oleh "boss kecil" saya itu. Selama ini pun kerja saya memang banyak, saya suka lebih banyak kerja dari duduk melunggu dan goyang kaki kerana tiada kerja, malahannya.

Apa yang membuatkan saya tersentuh punat ke"panas" an itu ialah cara penyelesaian "boss kecil" saya. Saya boleh menyudahkan tugasan tersebut, dengan senang hati, malahan. Tetapi, cara penyelesaian yang begitu - kalau seorang tak boleh buat atas alasan masa, minta orang lain sudahkan. Tak betul! Itu ibarat tamsilnya, kita hanya memberi ikan pada orang yang tak selesai kerja. Sampai bila? Sepatutnya seorang ketua memberi pancing, bukannya ikan!

Ya, apapun saya senang bekerja di pejabat Kedutaan ini. Banyak kerja? Aduh, Tuhan. Selama ini sangka saya - "kerja pejabat kerajaan ini goyang kaki." Dan itu antara sebab saya tak berminat dengan kerja kerajaan - goyang kaki (maaf, ini persepsi lama saya!)

Tetapi yang berlaku sebaliknya! Saya di Kedutaan Malaysia Canberra ini - kiri, kanan, depan, belakang - tetapi saya gembira! Dan, semakin banyak yang kita buat, semakin banyak yang kita boleh belajar (termasuk belajar dari kesilapan, malahan!)

Dan saya rasa ini bekalan wajar untuk saya yang punya cita-cita untuk bekerja sendiri bila kembali ke Malaysia nanti, ya, setelah 3 atau 4 tahun pengajian isteri saya di sini.

ii

Tanpa sedar, esok sudah datangnya 10 Zulhijjah, Eidul Adha. Ah, terbayang segalanya - meski debu waktu telah membalut kenangan-kenangan itu - saya demam ketika di Arafah, kerana makan maggi (sebetulnya kuasa Allah!), saya cirit-birit dalam bas antara Arafah dan Muzdalifah, bersesak ketika melontar jamrah, dan saya hanya kebah sedikit dari demam saya pada hari melontar kedua, atau terakhir, dan persahabatan dengan sahabat-sahabat PMRAM adalah satu persahabatan yang kekal indah (bagaimana dengan Poksu Li, Mantan Timbalan Presiden PMRAM, Ust Anhar, ah, ramai lagi sahabat-sahabat Malaysia Mesir yang menjadi akrab di tanah Haram itu, rindu pada ukhuwah yang tertunas, tak mungkin terkuncup!)

Sudah - tinggalkan kenangan itu tersisip antara ruang ingat!

Di Canberra, saya baru sahaja terima panggilan dari isteri,

"Kak Ana tanya, bolehkah jadi imam malam nanti, dan takbir sekali, di rumahnya?"

Saya berfikir, sejenak, "InsyaAllah, apa salahnya!"

Saya bukan selayaknya, tetapi sudah tiada yang lain, maka saya terpaksa tampil untuk menyudahkan mana yang tertinggal.

Dan lagi, saya kecut perut juga menanti jamuan open house Kedutaan tengahari esok;

"Dato' (Pesuruhjaya Tinggi) minta you bersedia hari raya nanti, bagi tazkirah sedikit. You bersedialah, I pun tak tahu Dato' nih serius ataupun main-main." Itu pesan "boss besar" saya. Aduh, Tuhan!

Ya, saya sedar - kehidupan di luar negara kadang-kadang menuntun saya untuk menjadi lebih beragama, sebab tiada orang lain yang mahu ke hadapan untuk membawa agama. Kalau kita tak buat, maka tak ada orang buat. Daripada tak buat dan tiada langsung, biarlah ada, walaupun tak sebegitu baik sebagaimana diharapkan, itu prinsip saya!


Ah, selamat hari raya AidilAdha, dari saya sekeluarga dari bumi permai Canberra. Berkorban dan terkorban, biarlah atas nama agama, mudahan natijah kebaikan adalah untuk kita pada hari yang kekal panjang tanpa hujung, hari akhirat.